"" THE ROAD NOT TAKEN: Tulislah wasiat ketika sihat

Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Friday, 8 April 2011

Tulislah wasiat ketika sihat


MENULIS wasiat bukan kebiasaan masyarakat kita. Wasiat selalu disarankan pada orang tua dan orang yang sakit.

Ada juga apabila ditanya mengenai wasiat, ia dianggap penghinaan seperti mendoakan orang itu cepat mati. Seorang anak yang menyuruh bapanya membuat wasiat mungkin akan dimarahi dan dikatakan anak derhaka walaupun sebenarnya anak itu mengingatkannya kerana wasiat adalah sunnah nabi.

Tahukah kita bahawa wasiat adalah sunnah nabi? Ada yang tahu dan ramai lagi seperti penulis yang tidak tahu. 

Wasiat adalah satu deklarasi oleh seseorang semasa hayatnya ke atas hartanya untuk tujuan yang dibenarkan oleh undang-undang Islam yang berkuat kuasa selepas kematiannya. Wasiat adalah isu yang sepatutnya tidak terus dijadikan sebagai perkara sensitif kerana ia amat penting dan perlu untuk kita semua yang mempunyai harta. Semua orang tidak kira berkahwin, bujang, mempunyai anak ramai ataupun tidak, perlu mengetahui hal pembahagian harta faraid dan penulisan wasiat sekiranya kita ada impian sendiri dalam membahagikan harta selepas kematian kita kelak. Sa'ad bin Abu Waqqas berkata: "Telah datang Rasulullah s.a.w untuk melihatku sedang aku berada di Makkah. Aku berkata, "Wahai Rasulullah, apakah aku harus mewasiatkan semua hartaku." Baginda menjawab, "Tidak." Aku berkata, "Sebahagiannya." Baginda menjawab, "Tidak." Aku berkata, "Sepertiga." Baginda menjawab, "Ya, sepertiga." Dan sepertiga itu banyak. Sesungguhnya apabila engkau meninggalkan ahli waris kaya itu lebih baik daripada engkau meninggalkan mereka miskin, meminta-minta kepada manusia dengan tangan mereka." (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).




Diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, "Bukanlah seorang Muslim sebenar yang mempunyai harta untuk diwasiatkan untuk tidur dua malam kecuali wasiatnya sudah tertulis dan disimpan di bawah kepalanya." (Petikan daripada sahih al-Bukhari) Pengurus Besar, as-Salihin Trustee Bhd (as-Salihin), Jasmin Jamaluddin, menasihatkan supaya masyarakat yang mempunyai harta membuat wasiat ketika dalam keadaan berupaya.

Mengapa kita perlu membuat wasiat? "Salah satu sebabnya adalah mempercepatkan proses kerana apabila seseorang itu meninggal, hartanya beku. "Wasiat menjadikan proses pencairan harta lebih cepat, tidak kira banyak atau sedikit. Seseorang berharta digalakkan membuat wasiat supaya proses pembahagian kelak cepat dan mudah. "Membuat wasiat juga bermakna kita sudah melantik pentadbir harta pusaka kita (wasi). Sekiranya tidak, waris perlu duduk berbincang sesama sendiri untuk melantik pentadbir antara mereka. "Sekiranya semua sependapat tidak mengapa tetapi realiti manusia sekarang amat sukar mencapai kata sepakat terutama sekali membabitkan ahli keluarga berpoligami," katanya.
Menurut Jasmin, sekiranya kita berharta, walaupun muda, eloklah segera membuat wasiat kerana ajal manusia tidak mengira usia malah kebanyakan mereka yang datang ke as-Salihin kerana mendapat kesedaran.

"Ada yang mendapat kesedaran melalui kawan. Ada juga dalam keadaan sakit dan mahu cepat-cepat membuat wasiat. "Satu lagi sebab paling popular untuk membuat wasiat apabila hendak mengerjakan haji. Bagi saya, kita sepatutnya risau mengenai kematian bukan hanya ketika hendak mengerjakan haji kerana ajal boleh menjemput tidak kira masa," katanya.

Walaupun zaman semakin moden, masih ramai yang membuat wasiat secara mulut atas dasar mempercayai orang yang mendengar ketika itu.

"Wasiat secara lisan mengikut hukum syarak adalah sah sekiranya semua syarat untuk membuat wasiat ditepati. "Namun dalam keadaan sekarang tidak digalakkan kerana prosedurnya bukan mudah. Ia membabitkan kunjungan ke mahkamah dan membawa saksi, kemudian diisytiharkan sah oleh mahkamah. Wasiat yang terakhir adalah wasiat yang sah. Wasiat secara mulut selalunya boleh dipertikaikan kerana sukar dibuktikan," katanya.

Menurutnya, kebanyakan kita menyangka tidak payah membuat apa-apa mengenai harta kerana ada faraid walhal itu adalah penyelesaian terakhir.

"Tugas utama wasi yang dilantik setelah berlakunya kematian adalah menyelesaikan hutang-piutang si mati dunia dan akhirat. "Selepas itu, pembahagian mengikut wasiat boleh dilakukan. Sekiranya wasiat adalah kepada waris dan ia tidak dipersetujui oleh mana-mana waris maka waris terbabit akan mendapat hak faraidnya. "Waris lain pula boleh mengikut pembahagian yang dinyatakan dalam wasiat asal," katanya.

Wasiat boleh dibuat mengikut kehendak empunya harta sendiri, tertakluk kepada satu pertiga harta boleh diwasiatkan kepada bukan waris. Contohnya, sekiranya hendak mewasiatkan sepertiga harta untuk disedekahkan kepada badan amal atau bukan waris, ia boleh dilakukan. Waris tidak boleh membantah. "Melainkan waris pertikai yang ketika wasiat itu dibuat, orang tua mereka dalam keadaan tidak stabil fikiran ataupun nyanyuk.

"Itu antara sebab kita perlu membuat wasiat sebelum tua supaya tidak ada pertikaian mengenai pelbagai keadaan misalnya masalah nyanyuk.

"Ada yang membuat wasiat ketika nazak dan wasiat sebegini juga selalu menjadi pertikaian waris yang membawanya ke mahkamah," katanya.

Selain pembahagian keluarga berpoligami, anak angkat sering menjadi masalah setelah berlaku kematian. "Jika seseorang itu mempunyai anak angkat dan mahu meninggalkan pusakanya kepada anak angkat, maka dia perlu menulis wasiat dan menyatakan pembahagiannya dalam wasiat. "Sekiranya tiada wasiat ditinggalkan, maka anak angkat terbabit tidak akan mewarisi apa-apa melainkan waris faraid bersetuju memberi bahagian mereka kepada anak angkat berkenaan.

"Hibah dan wasiat adalah berbeza. Hibah berkuat kuasa sekarang berbanding wasiat yang berkuat kuasa selepas berlakunya kematian," katanya.

Tetapi Jasmin mengingatkan, hibah juga ada keburukannya kerana pemberian hibah kepada bukan waris tidak boleh ditarik balik. Sekiranya hendak ditarik balik, si penerima kena bersetuju. "Contohnya, awal-awal lagi menghibahkan semua harta kepada anak angkat yang sangat disayangi dan tiada pula mempunyai anak sendiri. Namun ajal maut di tangan Tuhan, mungkin anak angkat itu yang meninggal dulu. "Jadi eloklah jangan menghibahkan seratus peratus sebaliknya beberapa bahagian sahaja kerana kalau anak angkat meninggal dulu, waris faraid dia pula yang mendapat hak waris. Bagaimana dengan nasib kita, di mana kita hendak tinggal?" katanya.

Mengikut hukum syarak, hibah daripada ibu bapa kepada anak kandungnya boleh ditarik balik walaupun anaknya tidak setuju. Hibah selain daripada ibu bapa kepada anak, contohnya suami kepada isteri atau kawan pula tidak boleh ditarik balik. "Proses membuat wasiat pula tidak sesukar mana. Ada beberapa cara untuk membuat wasiat. Ada yang mahu semuanya diperinci jadi mereka kena sertakan perincian harta sekurang-kurangnya alamat rumah (tidak perlu menyertakan nilai). "Untuk duit simpanan, perlu memberi nama bank dan nombor akaun (tidak perlu memberitahu jumlah yang ada). Ada juga yang sekadar memberi nama, alamat dan nombor kad pengenalan sendiri dan kemudian menyatakan jumlah yang mahu diberikan kepada waris atau bukan warisnya berserta nama dan nombor kad pengenalan mereka. "Memang lagi mudah sekiranya harta sudah diperincikan supaya mudah wasi mentadbir harta itu kelak. "Mereka yang datang bertemu kami juga tidak perlu membawa saksi. Sebenarnya lebih baik mereka datang sendiri tanpa membawa saksi kerana risau kelak dipertikaikan saksi itu mempengaruhi orang berkenaan dalam membuat keputusan," katanya.

Bagaimana pula dengan penama wang simpanan? Adakah semua wang itu kepunyaan penama? Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-49 pada 10 September 2000 memutuskan: "Penama dana Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Bank Simpanan Pejabat Pos, Bank, Syarikat Insurans dan Kesatuan Kerjasama adalah seperti orang-orang yang melaksanakan wasiat si mati atau yang membuat wasiat. "Orang-orang itu boleh menerima wang si mati daripada punca yang disebut itu untuk dibahagikan kepada orang yang berhak mengikut undang-undang Islam mengenai warisan." Jasmin mengaku ramai yang salah sangka dengan keadaan ini. "Paling popular adalah penama di KWSP. Ramai menyangka seluruh wang itu adalah untuk penama.

"Sebenarnya sekiranya suami mati dan si isteri sebagai penama, dia tidak mendapat semua wang itu sebaliknya sebagai penama yang menjadi pemegang amanah membahagikan wang itu mengikut syariah Islam. "Isteri haknya tetap satu perempat dan baki untuk bapa atau ibu dan adik-beradik suami. Bagi simpanan isteri yang meninggal dunia, suami akan mendapat satu perdua manakala baki kepada bapa atau ibu dan adik-beradik isteri itu," katanya.

Pernah berlaku yang mana seorang lelaki meninggal dunia tetapi penama di KWSP adalah ibunya. Si ibu menyangka semua duit itu hak miliknya seorang tanpa mahu memberi sesen kepada menantu dan cucunya. "Tanggapan si ibu itu sebenarnya salah. Dia adalah penama pemegang amanah sahaja dan wajib membahagikan kepada yang hak terutama isteri dan anak-anak yatim lelaki itu," katanya.

No comments: