"" THE ROAD NOT TAKEN: April 2010

Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Friday, 30 April 2010

Pembatalan Pindaan kepada Penggal Persekolahan 2010

Dimaklumkan bahawa Pelaksanaan Penggal Persekolahan 2010 adalah seperti yang diwartakan pada 14 Ogos 2009. Oleh yang demikian Cuti Pertengahan Tahun 2010 adalah dari 4 Jun hingga 19 Jun 2010 (Kumpulan A) dan dari 5 Jun 2010 hingga 20 Jun 2010 (Kumpulan B).

Thursday, 29 April 2010

MAKLUMAN HARI GURU PERINGKAT KEBANGSAAN 2010 YANG KE-39

1.    Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran Malaysia YAB Tan Sri Muhyiddin bin Mohd Yassin akan merasmikan Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2010 yang ke-39 pada 16 Mei 2010 pada pukul 9.30 pagi di Universiti Malaysia Pahang, Sri Gambang, Pahang Darul Makmur.
 
2.    Sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2010 di Universiti Malaysia Pahang, Sri Gambang ini, beberapa aktiviti akan diadakan seperti Forum Pendidkan dan juga Pameran Pendidikan.
 
3.    Anugerah yang berprestij seperti Tokoh Guru Kebangsaan 2010 akan diserahkan kepada tokoh-tokoh guru yang telah berkorban dan berbakti di dalam bidang perguruan.
 
4.    Puncak Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2010 ini adalah penyerahan Anugerah Tokoh Guru Kebangsaan 2010 dan Anugerah Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan 2010.
 
5.    Tema Sambutan Hari Guru peringkat Kebangsaan 2010 yang ke-39 ini adalah “Guru Pembina Negara Bangsa”. Tema ini akan dibincangkan secara mendalam di dalam Forum Pendidikan yang akan berlangsung pada pukul 2.45 petang pada 15 Mei 2010 bertempat di Kolej Shah Putra, Kuantan, Pahang.

Sumber: Bahagian Hal Ehwal Korporat, Kementerian Pelajaran Malaysia.

Tuesday, 27 April 2010

Permohonan Kemasukan Ke Tingkatan Satu Sekolah Seni Malaysia Sesi Januari 2011

Kementerian Pelajaran Malaysia telah menubuhkan dua buah Sekolah Seni bagi meningkatkan potensi dan bakat pelajar dalam bidang kesenian di Malaysia. Ketika ini terdapat dua buah sekolah perintis iaitu Sekolah Seni Johor Bahru dan Sekolah Seni Kuching.

Visi Sekolah Seni ini adalah Pewaris Budaya Bangsa dengan misi memupuk bakat dan mengembangkan potensi kesenian di kalangan pelajar, menggalakkan penyertaan aktif murid dalam aktiviti kesenian dan mewujudkan kerjasama dengan pelbagai institusi dan penggiat seni.

Kedua-dua Sekolah Seni Malaysia iaitu Sekolah Seni Kuching Sarawak dan Sekolah Seni Johor Bahru akan membuka permohonan kemasukan murid ke tingkatan satu bagi sesi ambilan 2011. Mereka yang mendapat tawaran akan masuk ke salah satu Sekolah Seni ini pada Januari 2011.

Syarat Asas

  • Warganegara Malaysia
  • Murid yang akan menduduki UPSR pada tahun 2010 sahaja
  • Semua murid yang disenarai pendek akan melalui sesi uji bakat oleh Panel Pemilih KPM sebelum ditawarkan ke Sekolah Seni.

Bidang

Empat bidang kesenian yang ditawarkan ialah :-
  • Seni Visual
  • Seni Teater
  • Seni Tari
  • Seni Muzik

Permohonan

Kaedah Permohonan
  • Permohonan ibubapa
  • Pencarian bakat
  • Cadangan oleh badan kesenian negeri atau kebangsaan
Borang
  • Borang permohonan  SSeM/BPKM/10, boleh didapati dengan memuat turun dari laman web Kementerian Pelajaran mulai 30 April 2010.
  • Salinan sijil seperti berikut perlu disah dan disertakan bersama permohonan;
    1. Salinan sijil kelahiran murid
    2. Salinan kad pengenalan murid
    3. Salinan kad pengenalan ibubapa/penjaga
    4. Salinan sijil-sijil berkaitan

Tarikh Tutup

  • Tarikh tutup permohonan kemasukan ke Sekolah Seni adalah pada 30 Jun 2010

Maklumat

  • Jika terdapat sebarang pertanyaan mengenai Sekolah Seni sila hubungi Bahagian Sukan, Seni dan Kokurikulum, KPM di talian 03 8884 1339 atau 03 8884 1001, faks 03 8884 1034 atau e-mel info@jpjs.moe.gov.my
  • Anda boleh juga menghubungi Sekolah Seni yang berkenaan di alamat berikut;
    • Sekolah Seni Johor Bahru
      Jalan Abdul Samad,
      81000 Johor Bahru,
      Johor.
      Telefon : 07 226 2100
      Faks : 07 226 3100
    • Sekolah Seni Kuching, Sarawak
      Jalan Demak
      93050 Kuching,
      Sarawak.
      Telefon : 082 449 586
      Faks : 082 449 605

Thursday, 22 April 2010

Hati Yang Celaka...

Ku Panggil Namamu
WS Rendra

Sambil menyeberangi sepi,
Ku panggili namamu, wanitaku
Apakah kau tak mendengar?

Malam yang berkeluh kesah
Memeluk jiwaku yang payah
Yang resah
Karena memberontak terhadap rumah
Memberontak terhadap adat yang latah
dan akhirnya tergoda cakrawala

Sia-sia ku cari pancaran matamu
Ingin ku ingat lagi bau tubuhmu yang kini sudah ku lupa
Sia-sia
Tak ada yang bisa ku camkan
Sempurnalah kesepianku

Angin pemberontakan menyerang langit dan bumi
Dan duabelas ekor serigala
Muncul dari masa silamku
Merobek-robek hatiku yang celaka

Berulangkali ku panggil namamu
Dimanakah engkau wanitaku?
Apakah engkau sudah menjadi masa silamku?

Persepsi Terhadap Tingkatan 6

Pada 5 Mei 2010 ini dijangka tawaran kemasukan ke Tingkatan 6 2010 akan diumumkan. Mereka yang memenuhi Syarat Kelayakan Masuk Ke Tingkatan 6 Bawah 2010 akan mendapat tawaran untuk memasuki Tingkatan 6 Bawah dan seterusnya menduduki peperiksaan STPM. Saban tahun tingkatan 6 ini seolah-olah menjadi pilihan terakhir bagi para pelajar lepasan SPM untuk menyambung pembelajaran mereka. Malah ada yang ragu-ragu untuk masuk semula ke sekolah bagi mengikuti kelas tingkatan 6.

Sehubungan dengan itu sebagai panduan kepada mereka yang sedang menimbangkan mengenai Tingkatan 6, dipaparkan petikan artikel tulisan seorang guru yang pernah disiarkan di Harian Metro bertajuk Ubah Persepsi Tingkatan Enam seperti berikut;

Pembelajaran di tingkatan enam adalah taraf tertinggi dalam sistem pendidikan sekolah di negara kita. Pelajar yang terpilih akan mengikuti pembelajaran mereka selama dua tahun dan diakhiri dengan peperiksaan awam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM). Namun demikian, sudah sekian lama masyarakat mahupun di kalangan pelajar sendiri yang menganggap belajar di tingkatan enam bertaraf rendah dan membuang masa.

Pandangan negatif itu menjadi fobia kepada sesetengah pelajar dan mereka yang terpilih ke tingkatan enam seolah-olah mengalami perasaan rendah diri kerana rakan lain layak ke kolej matrikulasi, politeknik atau institusi pengajian lain. Tanggapan umum ialah pelajar tingkatan enam terdiri di kalangan mereka yang tercicir untuk ke IPTA.

Sesungguhnya persepsi itu mesti dikikis segera kerana sistem pembelajaran di tingkatan enam adalah gerbang kedua untuk ke universiti. Pendapat mengatakan peluang pelajar tingkatan enam untuk melanjutkan pelajaran ke universiti adalah tipis boleh dipersoalkan. Jika kita perhatikan syarat kelayakan ke IPTA, kita dapati syarat minimum kelayakan masuk termasuk mempunyai STPM. Di samping itu, ada beberapa kelayakan lain yang setaraf dengannya seperti sijil matrikulasi, diploma, A-Level atau kelayakan lain yang diiktiraf.

Jadi, di sini jelas menunjukkan kedudukan STPM dimiliki pelajar tingkatan enam diiktiraf kerajaan. Mungkin tanggapan negatif itu berpunca daripada kebanyakan pelajar cemerlang melanjutkan pelajaran ke pusat matrikulasi. Situasi sebegini menjadi sindrom kepada pelajar yang gagal ke matrikulasi untuk menerima kemasukan ke tingkatan enam lantaran berasa malu kepada rakan. Inilah fenomena saban tahun pelajar tingkatan enam, berasa diri terpinggir dan tercicir.

Di samping itu, ada sesetengah pelajar beranggapan tempoh dua tahun di tingkatan enam terlalu lama dan mereka perlu benar-benar bersedia sama ada dari segi mental dan emosi untuk menghabiskan pembelajaran. 

Apatah lagi belajar di tingkatan enam pelajar masih terikat dengan peraturan dan disiplin sekolah sebagaimana pelajar junior lain. Belajar dan berada di bawah satu bumbung yang sama dengan pelajar tingkatan lain meninggalkan ‘rasa terpencil’ dalam sanubari mereka.

Sebenarnya keadaan berkenaan tidak timbul langsung jika pelajar menyedari mereka sebenarnya berada di gerbang universiti. Soal di mana kita belajar tidak penting. Yang perlu pelajar fikirkan bagaimana untuk merangkul kecemerlangan. Kesedaran dan komitmen menjadi tunjang dalam menjana kejayaan dalam mana-mana sistem pembelajaran. Belajar di mana-mana sebenarnya sama saja kerana tiada jalan mudah mencapai kejayaan.

Memang benar kejayaan itu milik semua, tetapi yang berusaha keras saja mampu mencapainya. Jika kita meninjau prestasi pencapaian pelajar STPM setiap tahun, ia menunjukkan kualiti sangat tinggi dan sentiasa berlaku peningkatan dari segi peratusan kelulusan. Hal ini menggambarkan pelajar tingkatan enam mampu muncul cemerlang sebagaimana rakan mereka di matrikulasi, politeknik atau kolej swasta.

Belajar di tingkatan enam banyak kelebihan. Antaranya pelajar akan mengikuti pembelajaran secara sistematik berdasarkan kurikulum Kementerian Pelajaran bersesuaian dengan kehendak IPTA dan IPTS. 

Dokongan kuat dan sentiasa di bawah bimbingan guru juga adalah faktor utama membolehkan seseorang pelajar itu mencapai kejayaan cemerlang. Hal itu tidak ada pada rakan mereka di matrikulasi atau di pusat pengajian lain kerana mereka terpaksa lebih berdikari.

Tingkatan enam adalah landasan terbaik untuk seseorang pelajar ke universiti. Sebenarnya peluang pelajar tingkatan enam melanjutkan pelajaran ke universiti lebih terbuka berbanding lepasan diploma. Ini kerana lepasan matrikulasi dan diploma tidak secara automatik layak ke universiti jika mereka gagal mencapai merit dan kelulusan ditetapkan.

Perlu diingatkan, pembelajaran tingkatan enam diadakan bukan untuk menampung pelajar yang gagal ke IPT, sebaliknya sistem pembelajaran tingkatan enam itu adalah wadah terbaik untuk pelajar mempersiapkan diri bagi menghadapi cabaran lebih luas yang bakal mereka tempuh di IPTA/IPTS.

Justeru, selama dua tahun di tingkatan enam membuka ruang dan peluang kepada pelajar untuk merenung diri dan menilai kemampuan sebenar ke arah masa depan yang lebih cerah. Halangan dan cabaran di tingkatan enam adalah jalan mudah ke universiti.

Ini kerana mereka yang memperoleh kejayaan cemerlang dalam STPM, laluan ke universiti amat mudah dan mampu menyesuaikan diri untuk mengikuti pembelajaran di universiti. Apa yang penting, pelajar harus bijak merancang pembelajaran dan mesti sentiasa bersedia dari awal. Kepahitan dan kegetiran pelajar mengharungi masa dua tahun di tingkatan enam memerlukan ketabahan dan kecekalan. Tetapi, semuanya adalah lumrah ketika belajar.

Ingatlah wahai pelajar pesanan Imam Syafie yang antara lain berkata, “Ilmu itu umpama ladang, maka berbanggalah kamu dengan ilmu. Dan jangan sampai kamu kehilangan ladang kebanggaan itu. Tuntutlah ilmu sebanyak-banyaknya walaupun terpaksa berkorban dan menderita. Mungkin suatu hari nanti apabila engkau menghadiri suatu majlis dan engkau yang memimpinnya, maka engkau akan menjadi kebanggaan majlis itu.”

Sesiapa yang tidak pernah merasakan pahit getir menuntut ilmu, meskipun sedetik, tentulah ia akan terjerumus ke dalam kejahilan seumur hidupnya. Demikianlah, betapa pengalaman getir ketika belajar adalah ubat mujarab untuk mencapai kejayaan cemerlang dalam pelajaran.

Sesungguhnya sistem pembelajaran tingkatan enam masih boleh dipertingkatkan dengan lebih baik. Antaranya ialah mengadakan sistem kolej seperti pusat matrikulasi. Setiap negeri dibina satu kolej pra-U untuk menempatkan pelajar tingkatan enam. Ini tentu meninggikan imej dari segi fizikal dan mampu memantapkan emosi pelajar. Selain itu, pelajar tingkatan enam seharusnya lebih kerap dibawa melawat sambil belajar di universiti untuk memberi pendedahan awal kepada mereka mengenai suasana kampus universiti. Ini tentu merangsang minat pelajar untuk belajar bersungguh-sungguh.

Di samping itu, tenaga pendidik ditugaskan di tingkatan enam hendaklah dipilih daripada kalangan guru yang berpengalaman luas. Ini penting untuk meyakinkan pelajar bahawa mereka berdepan dengan tenaga pengajar berkebolehan tinggi yang sekali gus mencambah semangat meneruskan pembelajaran.

Hakikatnya, semua peluang belajar seharusnya dimanfaatkan sebaik mungkin dan jangan memperkecilkan keupayaan diri sendiri lantaran kita gagal masuk ke pusat matrikulasi. Tiada halangan, hanya peluang. Itulah yang boleh kita katakan mengenai kelebihan pelajar di tingkatan enam.

Kata penulis motivasi Alias Muda, “Setiap orang dilahirkan unik bukan saja dari segi rupa paras, tetapi juga dari segi potensi diri. Keunikan inilah yang menjadikan seseorang itu lain daripada yang lain, hebat dan istimewa.”

Thursday, 15 April 2010

Semakan Masuk ke Program Matrikulasi PST 2010

TERKINI :
Para lepasan SPM 2009 yang ada membuat permohonan ke program Matrikulasi Kementerian Pelajaran Malaysia sesi 2010/2011 boleh menyemak keputusan pengambilan mulai 16 April 2010. Ini merupakan untuk mereka yang berjaya mendapat tawaran Matrikulasi Program Satu Tahun (PST).

Cara Semakan

  • Keputusan permohonan ke Matrikulasi 2010 boleh disemak dengan tiga cara;
    1. Melalui laman web Kementerian Pelajaran Malaysia di Semakan Tawaran Kolej Matrikulasi.
    2. Melalui SMS – Taip MOE (jarak) MAT (jarak) No.KP (tanpa sempang) dan hantar kepada 15888 Contoh: MOE MAT 911001115263 dan hantar ke 15888
    3. Telefon terus ke Talian Bantuan Matrikulasi di 03 8884 4100 dari jam 8.30 pagi hingga 4.00 petang pada hari bekerja

Pendaftaran

  • Mereka yang berjaya mendapat tawaran ke Matrikulasi perlu mendaftarkan diri ke Kolej Matrikulasi yang telah ditetapkan pada 10 Mei 2010. Surat tawaran dan maklumat lanjut tentang pendaftaran, yuran dan sebagainya akan dihantar oleh Kolej Matrikulasi yang berkenaan.
  • Mereka yang tidak menerima surat tawaran berkenaan selepas dua minggu daripada tarikh keputusan permohonan matrikulasi dinasihatkan segera menghubungi Kolej Matrikulasi yang berkenaan.

Rayuan

  • Manakala mereka layak dan ada membuat permohonan tetapi gagal mendapat tawaran ke Matrikulasi PST boleh membuat rayuan mulai 16 April 2010 sehingga 30 April 2010. Rayuan perlu dibuat secara online.
  • Keputusan rayuan boleh disemak pada 24 Mei 2010.

Maklumat

  • Sila hubungi Talian Bantuan Matrikulasi di 03 8884 4100 jika terdapat sebarang pertanyaan.
  • Sila rujuk laman web Bahagian Matrikulasi KPM untuk mendapatkan maklumat lanjut.
Tahniah kepada mereka yang berjaya mendapat tawaran ke Matrikulasi PST 2010.

Friday, 9 April 2010

Syarat Kelayakan Masuk ke Tingkatan Enam Bawah 2010

Kementerian Pelajaran Malaysia telah menetapkan beberapa syarat untuk layak masuk ke Tingkatan 6 Bawah 2010. Syarat kemasukan ke Tingkatan 6 ini ditentukan mengikut jenis sekolah dan jenis calon.

Kemasukan

Mengikut Jenis Sekolah
  1. Sekolah Menengah Harian
  2. Sekolah Menengah Kebangsaan Agama dan Sekolah Menengah Agama Bantuan Kerajaan

    • Sekolah Menengah Kebangsaan Agama dan Sekolah Menengah Agama Bantuan Kerajaan
    • Sekolah Berasrama Penuh (Agama) di KISAS dan SMAP Labu
Mengikut Jenis Calon
  1. Permohonan Rayuan Daripada Calon Sekolah Kerajaan
  2. Permohonan Daripada Calon Persendirian/Sekolah Swasta
  3. Permohonan Mengulang Tingkatan Enam Atas 2010
  4. Permohonan Calon SPM Ulangan 2010 Untuk Masuk Tingkatan Enam Atas 2011

Penentuan Nilai Mata Gred

Bahagian Pengurusan Sekolah Harian telah mengambil keputusan untuk menetapkan wajaran yang akan digunakan di dalam pemilihan pelajar ke Tingkatan Enam Bawah bagi tahun 2010 disesuaikan dengan gred dalam SPM mulai tahun 2009 tanpa melibatkan pengubahsuaian dalam Sistem Online Kemasukan Murid Ke Tingkatan Enam Bawah.
Berikut adalah jadual nilai mata gred yang digunakan untuk pemilihan pelajar ke Tingkatan 6.
Gred Lama Gred Baru Nilai Mata
1A A+ dan A 1
2A A- 2
3B B+ 3
4B B 4
5C C+ 5
6C C 6
7D D 7
8E E 8
9G G 9

Syarat Kelayakan

Syarat Am
  1. Memperoleh kepujian bagi mata pelajaran Bahasa Melayu dalam peperiksaan SPM 2009.
  2. Umur calon mestilah tidak melebihi 20 tahun dan tidak kurang daripada 17 tahun pada 1 Januari 2010.
Syarat Mengikut Jenis Sekolah Dan Jurusan
Kemasukan ke Sekolah Menengah Harian
  1. Pelajar dari Sekolah Menengah Harian kerajaan.
  2. Memenuhi syarat untuk memasuki salah satu daripada jurusan yang disediakan seperti di bawah.
Jurusan Kemanusiaan
  • Calon mesti memperolehi TIGA kepujian dan jumlah mata gred tidak melebihi 8 unit bagi TIGA mata pelajaran terbaik . Tiap-tiap satunya hendaklah daripada kumpulan yang berlainan dari kumpulan-kumpulan berikut:

Kumpulan Mata Pelajaran

I Bahasa Melayu

II Bahasa Inggeris

III Kesusasteraan Melayu / Kesusasteraan Inggeris

IV Sejarah

V Geografi / Pendidikan Seni Visual

VI Pendidikan Islam / Pendidikan Moral

VII Matematik / Matematik Tambahan

VIII Sains / Sains Tambahan / Applied Science

IX Salah Satu Mata Pelajaran Teknik / Vokasional / Mata Pelajaran Vokasional (MPV)

X Tasawwur Islam / Pendidikan Al Quran Dan Al Sunnah / Pendidikan Syariah Islamiah

XI Bahasa Arab Tinggi / Bahasa Arab (Komunikasi) / Bahasa Cina / Bahasa Tamil

XII Sains Pertanian / Perdagangan / Prinsip Perakaunan / Ekonomi Asas / Ekonomi Rumah Tangga / Pengetahuan Sains Sukan
  • Calon-calon yang memperolehi jumlah mata gred 9 hingga 12 unit bagi TIGA mata pelajaran terbaik daripada TIGA kumpulan yang berlainan seperti tercatat di atas, layak ditawarkan ke Tingkatan Enam Bawah dengan syarat terdapat kekosongan tempat di negeri berkenaan.
Jurusan Sains
  • Calon mesti memperoleh sekurang- kurangnya TIGA kepujian dengan jumlah mata gred yang tidak melebihi 18 unit. Tiap-tiap satunya hendaklah dalam kumpulan yang berlainan dari kumpulan-kumpulan berikut:

Kumpulan Mata Pelajaran

I Matematik / Matematik Tambahan

II Fizik

III Kimia

IV Biologi

V Lukisan Kejuruteraan/ Pengajian Kejuruteraan Mekanikal / Pengajian Kejuruteraan Awam / Pengajian Kejuruteraan Elektrik & Elektronik/ Rekacipta / Teknologi Kejuruteraan / Teknologi Maklumat /Pengajian Agroteknologi / Pengurusan Makanan / Pengajian Pakaian.
Kemasukan ke Sekolah Menengah Kebangsaan Agama dan Sekolah Menengah Agama Bantuan Kerajaan
  1. Pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama atau Sekolah Menengah Agama Bantuan Kerajaan.
  2. Memenuhi syarat untuk memasuki salah satu daripada jurusan yang disediakan seperti di bawah.
Jurusan Agama
  • Calon mesti LULUS dalam mata pelajaran Bahasa Arab Tinggi/ Bahasa Arab (Komunikasi).
  • Calon juga mesti memperoleh TIGA kepujian dan jumlah mata gred tidak melebihi 14 unit bagi TIGA mata pelajaran terbaik. Tiap-tiap satunya hendaklah daripada kumpulan yang berlainan dari kumpulan-kumpulan berikut:

Kumpulan Mata Pelajaran

I Bahasa Melayu

II Bahasa Inggeris

III Kesusasteraan Melayu / Kesusasteraan Inggeris

IV Sejarah

V Geografi / Pendidikan Seni Visual

VI Tasawwur Islam / Pendidikan Al Quran Dan Al Sunnah

VII Matematik / Matematik Tambahan

VIII Sains / Sains Tambahan / Applied Science

IX Salah Satu Mata Pelajaran Teknik / Vokasional / Mata Pelajaran Vokasional (MPV)

X Pendidikan Syariah Islamiah

XI Bahasa Arab Tinggi / Bahasa Arab (Komunikasi)

XII Sains Pertanian / Perdagangan / Prinsip Perakaunan / Ekonomi Asas / Ekonomi Rumah Tangga / Pengetahuan Sains Sukan
  • Calon-calon yang memperolehi jumlah mata gred 15 hingga 18 unit bagi TIGA mata pelajaran terbaik daripada TIGA kumpulan yang berlainan seperti tercatat di atas, layak ditawarkan ke Tingkatan Enam Bawah dengan syarat terdapat kekosongan tempat di negeri berkenaan.
Jurusan Sains
  • Bagi calon SMKA dan SABK aliran agama, penawaran ke jurusan Sains di Sekolah Menengah Harian akan diutamakan bagi calon yang memperoleh jumlah mata gred tidak melebihi 12 unit bagi tiga mata pelajaran terbaik daripada tiga kumpulan yang berlainan.
Kemasukan ke Sekolah Berasrama Penuh (Agama) di KISAS dan SMAP Labu
  1. Pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama atau Sekolah Menengah Agama Bantuan Kerajaan.
  2. Memenuhi syarat untuk memasuki salah satu daripada jurusan yang disediakan seperti di bawah.
Jurusan Agama
  • Calon mesti mendapat KEPUJIAN sekurang-kurangnya C dalam mata pelajaran Bahasa Arab Tinggi/ Bahasa Arab (Komunikasi).
  • Calon juga mesti memperoleh TIGA kepujian dan jumlah mata gred tidak melebihi 12 unit bagi TIGA mata pelajaran terbaik. Tiap-tiap satunya hendaklah daripada kumpulan yang berlainan dari kumpulan-kumpulan berikut:

Kumpulan Mata Pelajaran

I Bahasa Melayu

II Bahasa Inggeris

III Kesusasteraan Melayu / Kesusasteraan Inggeris

IV Sejarah

V Geografi / Pendidikan Seni Visual

VI Tasawwur Islam / Pendidikan Al Quran Dan Al Sunnah

VII Matematik / Matematik Tambahan

VIII Sains / Sains Tambahan / Applied Science

IX Salah Satu Mata Pelajaran Teknik / Vokasional / Mata Pelajaran Vokasional (MPV)

X Pendidikan Syariah Islamiah

XI Bahasa Arab Tinggi / Bahasa Arab (Komunikasi)

XII Sains Pertanian / Perdagangan / Prinsip Perakaunan / Ekonomi Asas / Ekonomi Rumah Tangga / Pengetahuan Sains Sukan
  • Calon-calon yang memperolehi jumlah mata gred 12 hingga 14 unit bagi TIGA mata pelajaran terbaik daripada TIGA kumpulan yang berlainan seperti tercatat dalam 2(A), layak ditawarkan ke Tingkatan Enam Bawah dengan syarat terdapat kekosongan tempat di negeri berkenaan.
Jurusan Sains
  • Bagi calon SMKA dan SABK aliran agama, penawaran ke jurusan Sains di Sekolah Menengah Harian akan diutamakan bagi calon yang memperoleh jumlah mata gred tidak melebihi 12 unit bagi tiga mata pelajaran terbaik daripada tiga kumpulan yang berlainan.
Syarat Mengikut Jenis Permohonan
Permohonan Rayuan Daripada Calon Sekolah Kerajaan
  1. Mereka yang memenuhi syarat di atas tetapi tidak mendapat tawaran ke Tingkatan 6.
  2. Mereka yang tidak memenuhi syarat di atas tetapi aktif di dalam penglibatan kokurikulum perlu memenuhi syarat berikut;

    1. Membuat rayuan ke Jabatan Pelajaran Negeri berkenaan melalui pengetua sekolah asal murid dengan menggunakan borang T6BKK pada 10 Mei 2010.
    2. Pertimbangan kelonggaran akan hanya mengambilkira penglibatan kegiatan kokurikulum pemohon dalam bentuk rekod bertulis.
    3. Umur calon tidak melebihi 20 tahun dan tidak kurang daripada 17 tahun pada 1 Januari 2010.
    4. Mendapat sokongan penuh daripada pengetua sekolah di mana murid mengambil peperiksaan SPM, termasuk perakuan rekod disiplin yang baik.
    5. Kelulusan Jabatan Pelajaran Negeri tertakluk kepada kekosongan tempat belajar dalam jurusan yang dipohon.
    6. Semua rayuan yang diterima lewat daripada 1 Jun 2010 tidak akan dipertimbangkan.
    7. Rayuan yang berasaskan sebab-sebab lain seperti kesihatan, keadaan sosio ekonomi atau perakuan azam dan kesungguhan tidak akan dipertimbangkan. Dalam kes seperti itu, calon dinasihatkan supaya mengambil semula peperiksaan SPM.
Permohonan Daripada Calon Persendirian/Sekolah Swasta
  1. Calon persendirian/swasta SPM 2010 yang memohon memasuki Tingkatan Enam Bawah 2010 hendaklah menggunakan Borang T6BCP dan mengemukakannya ke Jabatan Pelajaran Negeri berkenaan.
  2. Permohonan yang diluluskan hendaklah memenuhi syarat-syarat kelayakan Sekolah Dan Jurusan seperti di atas.
  3. Masih terdapat kekosongan tempat belajar dalam jurusan yang dipohon.
Permohonan Mengulang Tingkatan Enam Atas 2010
  1. Calon sekolah kerajaan yang telah menduduki peperiksaan STPM 2009 tetapi ingin mengulang belajar di Tingkatan Enam Atas hendaklah membuat permohonan melalui pengetua sekolah. Jabatan Pelajaran Negeri berkenaan hendaklah mempertimbangkan permohonan berdasarkan syarat-syarat berikut:-

    1. Umur tidak melebihi 21 tahun pada 1 Januari 2010;
    2. Memperoleh keputusan STPM 2009 bagi dua mata pelajaran dengan keputusan lulus sebahagian (Gred C-, D+ dan D) atau mendapat satu mata pelajaran lulus penuh (Gred A, A-, B+, B, B-, C+ dan C) dan satu mata pelajaran lulus sebahagian;
    3. Masih berkesempatan untuk mendaftarkan diri bagi mengambil peperiksaan STPM 2010 sebagai calon sekolah;
    4. Masih terdapat kekosongan tempat belajar di sekolah yang mempunyai Tingkatan Enam dalam negeri berkenaan; dan
    5. Mendapat sokongan dan persetujuan pengetua sekolah pusat Tingkatan Enam asal murid berdasarkan rekod disiplin murid.
  2. Kelulusan bolehlah diberi terus oleh Jabatan Pelajaran Negeri jika pemohon memenuhi semua syarat di atas.
  3. Tarikh tutup permohonan adalah tiga minggu selepas tarikh keputusan STPM diumumkan.
Permohonan Calon SPM Ulangan 2010 Untuk Masuk Tingkatan Enam Atas 2011
  1. Calon yang telah memperoleh kepujian dalam mata pelajaran Bahasa Melayu SPM Ulangan 2010 bolehlah memohon masuk ke Tingkatan Enam Atas 2011 dengan memohon terus ke Jabatan Pelajaran Negeri berkenaan.
  2. Kelulusan permohonan hendaklah memenuhi semua syarat berikut :

    1. Umur tidak melebihi 21 tahun pada 1 Januari 2010.
    2. Memenuhi syarat kelayakan akademik seperti di atas; ATAU Bagi calon sekolah kerajaan yang memohon atas kelonggaran syarat dengan rekod kegiatan kokurikulum yang cemerlang, permohonan perlu dihantar melalui pengetua sekolah di mana calon mengambil peperiksaan SPM.
    3. Masih terdapat kekosongan tempat belajar dalam jurusan yang dipohon berdasarkan pakej mata pelajaran yang diikuti di sekolah asal.
    4. Calon-calon hendaklah mengemukakan rekod persekolahan bahawa mereka telah belajar di Tingkatan 6 Bawah 2009 di sekolah persendirian / swasta.
  3. Tarikh tutup permohonan adalah dua minggu selepas pengumuman keputusan peperiksaan SPM Ulangan 2010.
Permohonan Pertukaran Sekolah
  1. Dalam Negeri – mengikut tatacara biasa dan diputuskan oleh Jabatan Pelajaran Negeri berkenaan.
  2. Antara Negeri – pemohon perlu melapor diri terlebih dahulu di sekolah pusat Tingkatan Enam di mana murid telah ditempatkan, dan membuat permohonan pertukaran antara negeri melalui Pengetua sekolah tersebut seperti biasa. Keputusan adalah dibuat oleh Jabatan Pelajaran Negeri yang menerimanya. Permohonan hendaklah disertakan bersama satu salinan dokumen-dokumen berikut yang telah disahkan:

    1. Surat tawaran ke Tingkatan Enam Bawah;
    2. Keputusan SPM 2009;
    3. Kad pengenalan;
    4. Sijil Kelahiran; dan
    5. Jurusan dan pakej mata pelajaran yang diambil
  3. Semua pertukaran sekolah hendaklah menggunakan borang seperti Akta Pendidikan 1996 P.U. (A) 275 Jadual Ketiga.
  4. Dalam kes di mana calon telah berpindah lebih awal dari surat tawaran dikeluarkan. JPN yang menerima akan mengesahkan kelayakan dan membuat penempatan segera.
Permohonan Pertukaran Jurusan
  1. Permohonan pertukaran jurusan dari Jurusan Sains ke Kemanusiaan atau sebaliknya hendaklah dikemukakan melalui Pengetua kepada Jabatan Pelajaran Negeri berkenaan.
  2. Pihak Jabatan Pelajaran Negeri hanya dibenarkan memberikan kelulusan jika permohonan itu:

    1. Mendapat sokongan Pengetua; dan
    2. Calon berkenaan didapati layak masuk ke jurusan yang dipohon mengikut syarat-syarat yang ditetapkan di atas.
    3. Calon mesti mengisi inventori minat bagi menyokong permohonan untuk ke jurusan yang dipohon.
  3. Walau bagaimanapun, kelulusan bergantung kepada kekosongan tempat belajar dalam jurusan yang berkenaan. Keputusan kelulusan sama ada berjaya atau tidak harus dimaklumkan kepada pemohon dalam masa 2 minggu daripada tarikh permohonan.
  4. Permohonan pertukaran jurusan boleh dibuat pada 24 Mei hingga 27 Mei 2010.

Maklumat

  1. Sila rujuk kategori Tingkatan 6 untuk mendapat lebih banyak maklumat yang berkaitan.
  2. Maklumat di atas diperolehi daripada Surat TKP(OP) Syarat-syarat Kemasukan Murid Ke Tingkatan Enam Bawah 2010 dan Lampiran Syarat Kelayakan Kemasukan Murid Ke Tingkatan Enam Bawah 2010.
  3. Jika mempunyai sebarang pertanyaan mengenai pengambilan kemasukan ke Tingkatan 6, sila hubungi Jabatan Pelajaran Negeri yang terdekat atau mana-mana sekolah yang ada menawarkan kelas Tingkatan 6.
  4. Sebarang pertanyaan juga boleh dikemukakan kepada Kementerian Pelajaran melalui Pn. Norchahaya Abd. Ghani di talian 03 8884 9456 atau En.Md.Jamal Hj.Bongkek 016 220 8322 atau En.Selamon Kosrin 03 8884 9352 dan no. faks 03 8888 6673.

Sunday, 4 April 2010

Rasa tiada jiwa?

Sekosong jiwa yang tiada


Good night everyone, hopefully tomorrow I shall find my soul and update this blog on a regular basis again.

I'm so tired of this soul-searching thingy but having fun in racing my way to work VERY early in the morning.  Oh how I miss long distance travelling!


Each day seems to be very long and time moves extremely slow here, guess I miss my Cinta so much...  hatiku tertinggal di sana, jauhnya nak pergi ambik *sigh