"" THE ROAD NOT TAKEN: Hormati Guru Anda

Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Sunday, 17 January 2010

Hormati Guru Anda

Sesi persekolahan baru sahaja bermula. Bagi yang pertama kali melangkah masuk ke alam persekolahan mahupun pelajar lama, semoga tahun 2010 memberi semangat baru buat anda untuk cemerlang dalam pelajaran.

UNTUK cemerlang dalam pelajaran, insan paling bertanggungjawab membentuk pelajar ke arah itu adalah guru yang tidak pernah jemu memberi tunjuk ajar pada setiap masa.

Ilmu yang dicurahkan oleh guru amat penting bagi menjadikan seseorang itu insan berguna pada masa hadapan. Jadi, guru mesti dihormati kerana jasa mereka tidak akan terhitung oleh kita.

Pada asasnya, tugas hakiki seorang guru adalah mengajar di sekolah. Guru mendidik pelajar supaya menjadi manusia berguna kepada agama, bangsa dan negara.

Mereka juga merupakan ibu bapa kedua kepada pelajar memandangkan banyak masa dihabiskan di sekolah berbanding di rumah.

Pelbagai cara boleh dipraktikkan untuk menghargai jasa guru yang tidak pernah jemu-jemu mencurahkan bakti tanpa mengenal erti jemu.

Guru tidak pernah meminta wang ringgit dan harta sebagai balasan. Cukuplah setiap pelajar menghormati mereka dengan mengucapkan selamat sejahtera apabila berjumpa.  Tidak salah kalau menyapa guru ketika berselisih di luar kawasan sekolah sekalipun.

Dengan cara itu, bukan sahaja dapat menunjukkan sikap menghormati guru, malah dapat mengeratkan lagi hubungan antara mereka demi kebaikan bersama.

Pelajar juga boleh menghargai guru dengan cara menyiapkan kerja sekolah. Mereka mesti menghantar kerja sekolah mengikut masa yang ditetapkan.

Jika terdapat kesalahan dalam latihan, guru akan membetulkannya. Dengan ini, pelajar dapat belajar daripada kesilapan.

Sikap dan disiplin diri seorang pelajar di sekolah juga adalah penting. Pelajar juga boleh menghargai guru dengan cara berdisiplin semasa di sekolah.  Secara tidak langsung, ini boleh menjadikan mereka lebih tekun dalam pelajaran dan seterusnya berjaya dalam hidup.

Mereka juga perlu mematuhi peraturan sekolah. Sebagai contoh, mereka perlu datang awal ke sekolah dan tidak terlibat dalam gengsterisme, vandalisme, ponteng sekolah, melepak dan lain-lain. Oleh itu, jadilah pelajar yang berdisiplin.

Memberikan tumpuan sepenuhnya kepada pelajaran semasa mengikuti pengajaran guru juga sebahagian tanda hormat dan penghargaan seseorang pelajar.

Dengan membuang masa dan membuat bising dalam kelas ketika guru sedang mengajar adalah tindakan yang menunjukkan pelajar tidak menghormati guru.

Jika sikap seperti ini berterusan dan tidak diperbetulkan, ia akan merugikan masa depan pelajar terbabit.  Sebelum terlambat, ubahlah sikap dengan berusaha sebaik mungkin menghormati dan mengenang jasa guru.

Jika di rumah, ibu bapa adalah insan yang perlu disayangi, manakala di sekolah pula guru umpama ibu bapa. Jadi, sebagai pelajar, anda boleh menunjukkan kasih sayang kepada guru.

Ia boleh dilakukan dengan dengan membawa buku-buku ke bilik guru, selain memberi hadiah tanda ingatan semasa sambutan Hari Guru.

Namun, apa lebih penting guru akan rasa dihargai apabila pelajar dapat meluangkan masa untuk menziarahi mereka ketika terlantar sakit. Mereka akan berasa disayangi dan diingati sepanjang masa.

Sesungguhnya, guru ibarat lilin yang sanggup membakar diri dan menerangi hidup orang lain.  Lagipun, guru telah berjaya melahirkan generasi yang cemerlang, gemilang dan terbilang.

Janganlah menjadi salah seorang yang merugikan masa depan sendiri. Tepuk dada tanya selera.

No comments: