"" THE ROAD NOT TAKEN: Kemasukan Pelajar Tingkatan 1 Ke Sekolah Berasrama Penuh Diumum 25 Dis 2009

Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Saturday, 28 November 2009

Kemasukan Pelajar Tingkatan 1 Ke Sekolah Berasrama Penuh Diumum 25 Dis 2009

PUTRAJAYA, 26 Nov (Bernama) -- Keputusan pemilihan dan penempatan pelajar Tingkatan Satu di sekolah berasrama penuh (SBP) tahun depan akan diumumkan selewat-lewatnya 25 Disember ini.

Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berkata semakan mengenai keputusan itu boleh dibuat melalui laman web kementerian iaitu www.moe.gov.my.

"Murid Tingkatan Satu SBP dijangka akan mendaftarkan diri di kesemua 53 buah SBP yang ditawarkan pada 11 Jan depan," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

Alimuddin berkata sebanyak 95,826 permohonan diterima berhubung perkara tersebut, manakala hanya 6,600 tempat sahaja yang boleh ditawarkan.

Beliau berkata kementerian masih mengekalkan dasar 70/30, iaitu 70 peratus tempat dikhususkan untuk murid sekolah luar bandar dan 30 peratus lagi untuk murid sekolah bandar.

Beliau berkata keutamaan akan turut diberikan kepada anak-anak daripada keluarga berpendapatan di bawah Paras Garis Kemiskinan (PGK), di mana mereka akan dibantu dari segi bayaran persekolahan, bayaran makanan dan keperluan asrama.

"Melalui pendekatan ini murid-murid berpeluang untuk menikmati kemudahan pembelajaran yang sewajarnya supaya mereka dapat berusaha meningkatkan taraf hidup keluarga dan masyarakat, serta sesuai dengan konsep pendidikan untuk semua yang menjadi matlamat utama pendidikan negara," katanya.

Katanya menurut rekod, seramai 5,794 atau 17.6 peratus daripada 32,836 murid di SBP sehingga Oktober tahun ini telah diberikan bantuan untuk meneruskan pendidikan mereka dengan lebih sempurna.

Alimuddin berkata pengetua SBP juga telah diberikan kuasa autonomi bagi memilih 20 peratus murid untuk ditempatkan di sekolah masing-masing, dan mereka akan memberi pertimbangan berdasarkan kebitaraan (niche area) sekolah.

"Sebagai contoh sekiranya kebitaraan sekolah ialah bidang muzik, maka murid yang mempunyai kemahiran dan latar belakang muzik akan diberikan keutamaan untuk dipanggil temuduga serta menjalan proses-proses pemilihan oleh pihak sekolah," katanya.

PENGAMBILAN MURID KE SEKOLAH BERASRAMA PENUH TAHUN 2010

 
PENGAMBILAN MURID KE SEKOLAH BERASRAMA PENUH TAHUN 2010
 
1.        Bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurniaNya dapat kita bersama sekali lagi dalam sesi media ini. Sebagaimana saudara dan saudari sedia maklum bahawa seramai 48,171 orang murid telah berjaya mencapai semua A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun 2009. Oleh  itu, ramai ibu bapa secara umumnya berhasrat untuk menempatkan anak-anak mereka di Sekolah Berasrama Penuh (SBP).
 
2.        Pada tahun ini Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah menerima sebanyak 95,826 permohonan untuk kemasukan ke Tingkatan Satu (1) SBP bagi tahun 2010. Manakala tempat yang boleh ditawarkan hanyalah sebanyak 6,600 sahaja.
 
3.        Saya memahami bahawa ramai ibu bapa yang mengharapkan anak-anak mereka dapat belajar dan meneruskan kelangsungan pendidikan rendah ke menengah yang terbaik terutamanya di SBP. Namun begitu matlamat SBP pada dasarnya adalah untuk memberi keutamaan menempatkan murid-murid dari kawasan luar bandar.
 
4.        Melalui pendekatan ini, murid-murid berpeluang untuk menikmati kemudahan pembelajaran yang sewajarnya supaya mereka dapat berusaha meningkatkan taraf hidup keluarga dan masyarakat pada suatu masa nanti. Hal ini amat bersesuaian dengan konsep pendidikan untuk semua (education for all) yang menjadi sebagai satu matlamat utama pendidikan negara.
 
5.        Murid-murid dari luar bandar yang ditempatkan di SBP akan dibantu untuk mendapatkan pendidikan yang berkualiti. Perkara ini amat bertepatan dengan hasrat YAB Perdana Menteri yang memberi keutamaan kepada teras ketiga (3) dalam Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA) iaitu meluaskan akses kepada pendidikan yang berkualiti dan berkemampuan. Untuk pemilihan dan penempatan murid ke SBP bagi tahun 2010, KPM masih mengekalkan dasar 70:30 yang membawa maksud 70% tempat dikhususkan untuk murid dari sekolah luar bandar dan 30% tempat untuk murid sekolah bandar.
 
6.        Sukacita dimaklumkan bahawa, Pengetua SBP telah diberikan kuasa autonomi bagi memilih 20% murid untuk ditempatkan di sekolah masing-masing. Pengetua akan memberi pertimbangan berdasarkan kebitaraan (niche area) sekolah. Sebagai contoh sekiranya kebitaraan sekolah ialah bidang muzik, maka murid yang mempunyai kemahiran dan latar belakang muzik akan diberikan keutamaan untuk dipanggil temu duga serta menjalani proses-proses pemilihan oleh pihak sekolah.
 
7.        KPM juga memberikan keutamaan kepada anak-anak yang mempunyai latar belakang keluarga berpendapatan di bawah Paras Garis Kemiskinan ( PGK ). Murid-murid dalam kategori ini akan dibantu dari segi bayaran persekolahan, bayaran makanan dan keperluan asrama. Mengikut data enrolmen SBP sehingga 31 Oktober 2009, dari sejumlah 32,836 murid di SBP seramai 5,794 ( 17. 6 % ) orang murid telah diberikan bantuan untuk meneruskan pendidikan mereka dengan lebih sempurna.
 
8.        Keputusan pemilihan dan penempatan akan diumumkan selewat-lewatnya pada 25 Disember 2009. Semakan keputusan boleh dibuat melalui laman web KPM www.moe.gov.my. Murid Tingkatan Satu (1) SBP dijangka akan mendaftarkan diri di kesemua 53 buah SBP yang ditawarkan pada 11 Januari 2010.  
 
Terima kasih.
 
Tan Sri Dato’ Haji Alimuddin bin Haji Mohd. Dom
Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia
Putrajaya, 23 November 2009

No comments: